Wednesday, April 29, 2015

Istiadat Konvokesyen DARUL QURAN JAKIM Kali Ke-23 Tahun 2014


HULU SELANGOR 31 Ogos 2014 - Seramai 596 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Diploma Tahfiz al-Quran wal-Qiraat, Sijil Tahfiz al-Quran dan Sijil Tinggi Taranum dalam Majlis Konvokesyen Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali ke-23.

Majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Othman Mustapha di Dewan Muktamar, Darul Quran di sini.

Dato’ Othman Mustapha Ketua Pengarah JAKIM yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penganjuran majlis itu bukan sahaja bertujuan meraikan kejayaan para pelajar dalam bidang berkaitan, malah sebagai satu suntikan semangat kepada mereka untuk terus memartabatkan al-Quran yang menjadi rujukan utama umat islam dalam kehidupan.

"Saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak Darul Quran atas kejayaan menganjurkan majlis ini. Sudah pasti hari ini merupakan hari yang amat dinantikan dan sangat bermakna kepada seluruh graduan yang telah berusaha gigih dalam menimba ilmu di bumi barakah ini.

"Penganjuran majlis ini diharap dapat menyuntik semangat semua pelajar agar terus memartabatkan kitab suci al-Quran," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan)Jakim, Datuk Razali Shahabudin dan Pengarah Darul Quran, Zawanah Muhammad.

Majlis itu turut menyaksikan Muhammad Dawud Al-Hawariy Hamizan, 21, dan Nurdiana Zwlkifli, 22, dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri yang julung kali diperkenalkan tahun ini.

Muhammad Dawud yang selepas ini akan melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti Mu'tah, Jordan berkata, pendidikan al-Quran adalah lambang jati diri yang perlu dipelihara.

"Bidang pengajian al-Quran amat penting sebagai panduan kehidupan khususnya kepada generasi muda. Belajar al-Quran bukan sekadar membaca, tetapi perlu disertai dengan pemahaman dan penghayatan mendalam terhadap isi kandungannya," katanya.

Sementara itu, Nurdiana berkata, berkat bantuan daripada guru dan rakan-rakan banyak menyumbang kepada kejayaannya dalam bidang pelajaran.

"Saya suka bertanya kepada guru dan tidak jemu mencari ilmu serta pengalaman. Pada masa sama, saya tidak pernah hilang fokus ketika belajar. Tambahan pula al-Quran adalah sumber utama yang dapat mendidik seseorang itu menjadi insan yang berguna," katanya.

Sumber:
www.darulquran.gov.my
www.islam.gov.my
Utusan Malaysia (1 September 2014)














0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Template by:

Free Blog Templates