Sejarah KISAS |
Kolej Islam lahir dari tradisi ilmu dan budaya Islam yang unggul dan kaya. Jam 3.30 petang, 8 April 1955 merupakan tanggal keramat bagi warga Semenanjung Tananh Melayu, Singapura dan Brunei. Istiadat perasmian Kolej Islam Malaya dimulakan selepas solat Jumaat di tapak Istana Jemaah, Kampung Jawa, Klang oleh Sultan Hisamudin Alam Shah Alhaj, Sultan Selangor VI. Hasil usaha dan permuafakatan erat semua lapisan masyarakat, daripada golongan marhaen, para petani, nelayan dan buruh sehinggalah golongan aristokrat, Raja-raja melayu, golongan hartawan, akhbar serta golongan bukan Islam akhirnya merealisaikan cita-cita untuk mempunyai sebuah pusat agama tertinggi untuk perkembangan agama Islam di negara ini. Kesediaan Raja-raja Melayu menghulurkan bantuan dan memberi sokongan padu terhadapa penubuhan Kolej Islam khususnya Almarhum Sultan Hisamudin Alam Shah sendiri yang sanggup mewaqafkan Istana Jemaah sebagai tapak untuk melahirkan golongan ulama’ pewaris Nabi mencerminkan betapa murni dan tingginya harapan Keluarga Diraja Selangor untuk melihat kecemerlangan dan kegemilangan agama Islam. Seramai 43 pelajar yang datang dari pelosok Tanah Melayu, Singapura dan Brunei memulakan sesi pengajian pertama Kolej Islam Malaya pada 24 Februari 1955 di bangunan Istana Jemaah dan mereka dididik oleh pensyarah-pensyarah tempatan dan dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Sepanjang sejarah dan sehingga kini, Kolej Islam didatangi kelompok terbaik dari lepasan sekolah agama dan melahirkan pula tokoh-tokoh nasional dalam pelbagai bidang keahlian dan kerjaya. Kolej Islam sentiasa membawa nama baik Darul Ehsan dan Bandar Diraja Klang ke mercu pencapaian dan kecemerlangan sejajar dengan cogan kata Kolej Islam yang berasal dari ayat 112 Surah Hud yang berbunyi : “Tetapkanlah (Istiqamah) atas jalan lurus sebagaimana diperintahkan.” |
0 comments:
Post a Comment