Thursday, April 30, 2015

USRAH, PERSATUAN, QURAN & AKADEMIK

Apabila disebut mengenai usrah dan persatuan, perkara ini sudah tidak menjadi asing lagi bagi semua mahasiswa Darul Quran JAKIM. Hal ini disebabkan ketika hari pendaftaran pelajar lagi, semua pelajar yang ditawarkan pengajian di Darul Quran, mahu ataupun tidak, kesemuanya wajib mendaftar sebagai ahli Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ), bukan sekadar itu sahaja, sebaik sahaja selepas Minggu Haluan Siswa dan Synergy of Ulul Albab PERKEMAT, mereka semua terus disusun kumpulan usrah masing-masing yang dikelolakan oleh Majlis Nuqaba’ Darul Quran, sebuah entiti yang bernaung dibawah PERKEMAT DQ.

Perkara ini pasti menimbulkan perspektif positif mahupun negatif. Ada yang mengatakan usrah dan persatuan inilah yang menyebabkan muqarar Quran mereka lambat, ada juga yang mengatakan hasil paksaan menyertai usrah dan persatuan ini lah penyebab akademik mereka terjejas. Sebenarnya, perlu diketahui mengapa wujudnya persatuan yang diwajibkan oleh pihak pentadbiran untuk menyertainya, bukan sekadar itu sahaja, mengapa pula persatuan juga mewajibkan ahli yang berdaftar di bawah mereka untuk menyertai usrah bawah kelolaan entiti mereka. Perkara ini tidak dapat tidak, pasti ada banyak manfaat yang akan diperoleh oleh mahasiswa Darul Quran tetapi masih ramai lagi yang mengambil remeh akan perkara ini.

 Walaupun banyak pandangan negatif terhadap mereka yang menyertai usrah dan persatuan ini, namun 2 perkara inilah yang sebenarnya yang membentuk jati diri dalam diri kita sebagai mahasiswa huffaz yang bakal keluar untuk memberi manfaat kepada masyarakat kelak. Adakah kita mahukan keluaran Darul Quran ini melahirkan mahasiswa huffaz yang tidak bermaya, yang langsung tiada pengalaman gerak kerja, yang pasif tidak mahu menyertai usrah. Sudah tentulah tidak. Untuk pengetahuan, apa yang ingin saya ketengahkan dan tekankan dalam hal ini, Usrah dan persatuanlah adalah antara faktor utama dalam menjadikan diri kita mampu mengurus masa dengan baik. Dengan Usrahlah yang akan membentuk diri kita membina fardul muslim yang berkualiti berdasarkan 10 Muwassafat Tarbiah yang digariskan oleh imam Hassan Al-Banna. Pengalaman saya yang pernah menjadi salah seorang mahasiswa Darul Quran, kebanyakan mereka yang cemerlang dalam Quran dan akademik adalah mereka yang aktif dalam persatuan dan usrah. Sepanjang berada dalam kelompok ini, diri kita akan terlatih dengan sendirinya untuk menguruskan masa dengan baik, mengurus perasaan dengan baik. Hal ini kerana apabila kita selalu bergerak kerja dan berusrah, kita akan selalu melakukan aktiviti bersama sahabat-sahabat kita dan adik beradik se-usrah kita, pasti kita akan rasa tertekan, pasti kita akan terasa hati apabila pandangan kita ditolak, merasakan diri kita disisihkan oleh sahabat-sahabat kita, Walaupun terasa hati, namun hal ini akan melatih diri kita untuk sentiasa berlapang dada dengan orang berada disekeliling kita, pasti kita akan timbulkan perspektif positif dalam diri kita.

“Dia tu, asyik-asyik program, asyik-asyik usrah, dah la muqarar lambat, kelas pun datang lambat, bila exam, selalu dapat pointer rendah”

“Selalu budak yang bermasalah lambat muqarar ni, mesti budak yang aktif berprogram,  setiap sem, mesti muka yang sama yang selalu lambat muqarar dan selalu gagal madah Hifzul Quran”

“Asyik kamu ja yang datang lewat ke kelas, lama sangat ke meeting kamu tu sampai kamu bagi alasan tidur lewat disebabkan meeting?”

Ya, tidak dinafikan, dialog-dialog begini pasti akan berlaku dalam kalangan kita. Betul, perkara ini memang berlaku, tapi ketahuilah bahawa benda ini hanya terjadi hanya pada segelintir orang sahaja. Ianya berkaitan dengan faktor diri kita sendiri. Faktor menguruskan masa dan tekanan dalam gerak kerja dan usrah. Cuba lihat golongan yang tidak aktif dalam berpersatuan, yang culas menghadiri usrah, yang pandang negatif pada naqib dan naqibah mereka sendiri, cuba lihat prestasi Quran dan akademik mereka, adakah mereka antara menjadi antara pelajar cemerlang setiap semester? Adakah mereka terpilih menerima anugerah pengarah setiap semester? Sudah tentu hanya minoriti dan sebilangan kecil sahaja yang terpilih, namun ianya berlaku disebabkan kesungguhan mereka. Tetapi dimanakah lagi sebilangan besar yang mengkritik mereka yang aktif berpersatuan ini? Golongan ini hanya mencari alasan dan sebab sahaja untuk menidakkan diri mereka untuk menyertai usrah dan aktif dalam berpersatuan. Mereka hanya tahu mengkritik sahaja tanpa mengetahui hal yang sebenar bila berada dalam gerak kerja persatuan bahkan bukan sekadar itu sahaja, ,malah mereka mempengaruhi pula rakan sebaya mereka untuk turut menyertai mereka mengkritik usrah dan persatuan. Percayalah sahabat-sahabat, fitnah dalam berpersatuan pasti akan berlaku, bukan disebabkan oleh persatuan itu sendiri, tapi disebabkan oleh faktor diri masing-masing.

Terdapat juga segelintir mereka yang aktif berpersatuan, namun mereka mengabaikan tanggungjawab dan tujuan utama mereka di Darul Quran ini, menghafaz Al-Quran. Namun kebanyakan kita selalu memandang golongan yang segelintir ini berbanding golongan yang kebanyakan yang berjaya membuktikan kejayaan diri mereka setelah aktif berpersatuan dan usrah ini. Ianya sangat berkait rapat dengan diri kita sendiri dan orang sekeliling. Tidaklah yang saya maksudkan adalah bila kita aktif berpersatuan, secara langsung akan terus berjaya tanpa berusaha langsung untuk belajar bersungguh, tetapi dengan persatuan inilah yang banyak membantu dan mendorong kita untuk terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga al-Quran dan cemerlang dalam akademik. Benar, ilmu itu bukan terletak pada pointer yang tinggi, tetapi nak dapat pointer yang tinggi memerlukan kepada ilmu. Persatuan, usrah, Quran dan akademik perlu diletakkan seiringan tanpa meminggirkan salah satu darinya. Menjaga Quran dan akademik adalah yang utama, namun usrah dan persatuan bukanlah yang kedua, tetapi ianya tetap juga menjadi keutamaan.

Firman Allah:
"Wahai orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". (Surah Muhammad, Ayat 7)

Selain faktor diri kita sendiri dalam mengurus masa, perhatikanlah juga firman Allah dalam surah Muhammad ini, sekiranya kita menolong agama Allah, pasti Allah akan tolong kita. Persatuan ini juga adalah salah satu cara untuk kita menolong agama Allah, iaitu menjalankan kerja-kerja dakwah mengajak sahabat-sahabat kita untuk terus menyuburkan biah solehah yang berada di kampus Darul Quran ini. Hubungan kita dengan Allah mestilah dijaga, solat Jemaah juga mesti juga dijaga, jangan hanya hebat berpersatuan, bersungguh mengulang al-Quran, bersungguh berjaga malam, tetapi solat Jemaah tidak dijaga. Bagaimana Allah nak tolong kita jikalau kita culas dalam menjaga solat berjemaah. Tetapi realiti yang berlaku di kampus Darul Quran ini, kebanyakan dari kita menjadi golongan yang apabila peperiksaan hampir tiba, barulah tersedar untuk memenuhkan masjid untuk solat berjemaah, namun setelah berakhirnya peperiksaan, Masjid Darul Quran kembali lengang seperti sediakala. Janganlah kita menjadi manusia yang bersungguh bermunajat kepada Allah apabila berada dalam kesusahan namun apabila kita sudah melepasi kesusahan itu, terus kita lupa pada Allah, tidak malukah kita?

Apa yang ingin saya simpulkan disini, gunakanlah kelebihan yang ada pada diri kita untuk dimanfaatkan pada orang disekeliling kita. Janganlah kamu menjadi pembenci dan pengkritik kepada persatuan. Sumbangkanlah sesuatu yang kita mampu untuk menggerakkan agenda tarbiah dan biah solehah di kampus Darul Quran ini. Jika tidak mampu menyumbang sesuatu, jadilah penyokong kepada persatuan, janganlah sesekali menjadi penghalang dan pengkritik kepada mereka. Walaupun kamu adalah orang yang biasa dalam persatuan, tunjukkanlah sentiasa komitmen kamu dalam persatuan. Pilihlah sahabat yang mampu memberi semangat kepada kamu untuk terus menuntut ilmu dan menjaga Al-Quran disamping aktif dalam usrah dan persatuan. Percayalah, dengan izin Allah, kejayaan akan menjadi milik kamu.

Sekadar perkongsian dari saya, Anugerah Perdana Menteri yang mula diperkenalkan tahun ini sangatlah tidak dijangka bahawa saya merupakan salah seorang daripada dua orang yang akan menerimanya. Apa yang ingin saya kongsikan, saya merupakan orang yang sangat biasa suatu ketika dahulu di dalam PERKEMAT dan Majlis Nuqaba’. Saya bukanlah salah seorang dari pimpinan PERKEMAT DQ, namun itu bukanlah penghalang untuk terus memberikan komitmen yang tinggi kepada persatuan. Saya juga bukanlah seorang yang rajin dalam belajar, namun apabila berada dalam kalangan mereka yang sentiasa menjaga Quran, yang sentiasa menuntut ilmu, menjadikan saya mengambil manfaat dari mereka, apabila tiba musim peperiksaan, saya akan fokus terhadapnya terutama bagi madah Hifzul Quran. Hal ini jugalah yang mungkin mengekalkan kecemerlangan saya dalam madah Hifzul Quran dari semester satu hingga enam. Apa yang penting adalah cara kita mengurus masa dan kerja yang diberikan kepada kita sama ada dari pensyarah ataupun dari persatuan. Apa yang saya dapat ini bukanlah faktor dari diri saya sendiri, namun faktor utamanya adalah datangnya dari orang yang berada di sekeliling saya dan yang palin utama, ianya adalah rezeki dari Allah. Bukanlah saya ingin bangga dengan apa yang saya perolehi ini, namun saya kongsikan ini supaya generasi yang berada di kampus Darul Quran tidak terlalu menyalah tafsir dan memandang negatif terhadap mereka yang aktif berpersatuan ini kerana saya dahulu pun pernah berada dalam kalangan mereka.

Nasihat terakhir saya, belajarlah kerana Allah kerana apabila niat kita belajar kerana Allah akan menjadikan kita secara automatik ikhlas untuk bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Harapan saya, jadilah orang yang bermanfaat kepada orang lain dan jadilah pendokong kepada persatuan dan usrah di kampus. Semoga Berjaya, InsyaALLAH.


16 Disember 2014
Nilai, Negeri Sembilan
dq1114
alHawariy93




Kenangan Syukbah Hadith Darul Quran JAKIM 2011/2014

Kenangan Pimpinan Majlis Nuqaba' 2013/2014


Wednesday, April 29, 2015

Istiadat Konvokesyen DARUL QURAN JAKIM Kali Ke-23 Tahun 2014


HULU SELANGOR 31 Ogos 2014 - Seramai 596 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Diploma Tahfiz al-Quran wal-Qiraat, Sijil Tahfiz al-Quran dan Sijil Tinggi Taranum dalam Majlis Konvokesyen Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali ke-23.

Majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Othman Mustapha di Dewan Muktamar, Darul Quran di sini.

Dato’ Othman Mustapha Ketua Pengarah JAKIM yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penganjuran majlis itu bukan sahaja bertujuan meraikan kejayaan para pelajar dalam bidang berkaitan, malah sebagai satu suntikan semangat kepada mereka untuk terus memartabatkan al-Quran yang menjadi rujukan utama umat islam dalam kehidupan.

"Saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak Darul Quran atas kejayaan menganjurkan majlis ini. Sudah pasti hari ini merupakan hari yang amat dinantikan dan sangat bermakna kepada seluruh graduan yang telah berusaha gigih dalam menimba ilmu di bumi barakah ini.

"Penganjuran majlis ini diharap dapat menyuntik semangat semua pelajar agar terus memartabatkan kitab suci al-Quran," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan)Jakim, Datuk Razali Shahabudin dan Pengarah Darul Quran, Zawanah Muhammad.

Majlis itu turut menyaksikan Muhammad Dawud Al-Hawariy Hamizan, 21, dan Nurdiana Zwlkifli, 22, dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri yang julung kali diperkenalkan tahun ini.

Muhammad Dawud yang selepas ini akan melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti Mu'tah, Jordan berkata, pendidikan al-Quran adalah lambang jati diri yang perlu dipelihara.

"Bidang pengajian al-Quran amat penting sebagai panduan kehidupan khususnya kepada generasi muda. Belajar al-Quran bukan sekadar membaca, tetapi perlu disertai dengan pemahaman dan penghayatan mendalam terhadap isi kandungannya," katanya.

Sementara itu, Nurdiana berkata, berkat bantuan daripada guru dan rakan-rakan banyak menyumbang kepada kejayaannya dalam bidang pelajaran.

"Saya suka bertanya kepada guru dan tidak jemu mencari ilmu serta pengalaman. Pada masa sama, saya tidak pernah hilang fokus ketika belajar. Tambahan pula al-Quran adalah sumber utama yang dapat mendidik seseorang itu menjadi insan yang berguna," katanya.

Sumber:
www.darulquran.gov.my
www.islam.gov.my
Utusan Malaysia (1 September 2014)














Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Template by:

Free Blog Templates