Apabila disebut mengenai usrah dan persatuan, perkara ini
sudah tidak menjadi asing lagi bagi semua mahasiswa Darul Quran JAKIM. Hal ini
disebabkan ketika hari pendaftaran pelajar lagi, semua pelajar yang ditawarkan
pengajian di Darul Quran, mahu ataupun tidak, kesemuanya wajib mendaftar
sebagai ahli Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT
DQ), bukan sekadar itu sahaja, sebaik sahaja selepas Minggu Haluan Siswa dan
Synergy of Ulul Albab PERKEMAT, mereka semua terus disusun kumpulan usrah
masing-masing yang dikelolakan oleh Majlis Nuqaba’ Darul Quran, sebuah entiti
yang bernaung dibawah PERKEMAT DQ.
Perkara ini pasti menimbulkan perspektif positif mahupun
negatif. Ada yang mengatakan usrah dan persatuan inilah yang menyebabkan
muqarar Quran mereka lambat, ada juga yang mengatakan hasil paksaan menyertai
usrah dan persatuan ini lah penyebab akademik mereka terjejas. Sebenarnya,
perlu diketahui mengapa wujudnya persatuan yang diwajibkan oleh pihak
pentadbiran untuk menyertainya, bukan sekadar itu sahaja, mengapa pula
persatuan juga mewajibkan ahli yang berdaftar di bawah mereka untuk menyertai
usrah bawah kelolaan entiti mereka. Perkara ini tidak dapat tidak, pasti ada
banyak manfaat yang akan diperoleh oleh mahasiswa Darul Quran tetapi masih
ramai lagi yang mengambil remeh akan perkara ini.
Walaupun banyak pandangan
negatif terhadap mereka yang menyertai usrah dan persatuan ini, namun 2 perkara
inilah yang sebenarnya yang membentuk jati diri dalam diri kita sebagai
mahasiswa huffaz yang bakal keluar untuk memberi manfaat kepada masyarakat
kelak. Adakah kita mahukan keluaran Darul Quran ini melahirkan mahasiswa huffaz
yang tidak bermaya, yang langsung tiada pengalaman gerak kerja, yang pasif
tidak mahu menyertai usrah. Sudah tentulah tidak. Untuk pengetahuan, apa yang
ingin saya ketengahkan dan tekankan dalam hal ini, Usrah dan persatuanlah
adalah antara faktor utama dalam menjadikan diri kita mampu mengurus masa
dengan baik. Dengan Usrahlah yang akan membentuk diri kita membina fardul
muslim yang berkualiti berdasarkan 10 Muwassafat Tarbiah yang digariskan oleh
imam Hassan Al-Banna. Pengalaman saya yang pernah menjadi salah seorang
mahasiswa Darul Quran, kebanyakan mereka yang cemerlang dalam Quran dan
akademik adalah mereka yang aktif dalam persatuan dan usrah. Sepanjang berada
dalam kelompok ini, diri kita akan terlatih dengan sendirinya untuk menguruskan
masa dengan baik, mengurus perasaan dengan baik. Hal ini kerana apabila kita
selalu bergerak kerja dan berusrah, kita akan selalu melakukan aktiviti bersama
sahabat-sahabat kita dan adik beradik se-usrah kita, pasti kita akan rasa
tertekan, pasti kita akan terasa hati apabila pandangan kita ditolak, merasakan
diri kita disisihkan oleh sahabat-sahabat kita, Walaupun terasa hati, namun hal
ini akan melatih diri kita untuk sentiasa berlapang dada dengan orang berada
disekeliling kita, pasti kita akan timbulkan perspektif positif dalam diri
kita.
“Dia tu, asyik-asyik program, asyik-asyik usrah, dah la muqarar
lambat, kelas pun datang lambat, bila exam, selalu dapat pointer rendah”
“Selalu budak yang bermasalah lambat muqarar ni, mesti budak
yang aktif berprogram, setiap sem, mesti
muka yang sama yang selalu lambat muqarar dan selalu gagal madah Hifzul Quran”
“Asyik kamu ja yang datang lewat ke kelas, lama sangat ke
meeting kamu tu sampai kamu bagi alasan tidur lewat disebabkan meeting?”
Ya, tidak dinafikan, dialog-dialog begini pasti akan berlaku
dalam kalangan kita. Betul, perkara ini memang berlaku, tapi ketahuilah bahawa
benda ini hanya terjadi hanya pada segelintir orang sahaja. Ianya berkaitan
dengan faktor diri kita sendiri. Faktor menguruskan masa dan tekanan dalam
gerak kerja dan usrah. Cuba lihat golongan yang tidak aktif dalam berpersatuan,
yang culas menghadiri usrah, yang pandang negatif pada naqib dan naqibah mereka
sendiri, cuba lihat prestasi Quran dan akademik mereka, adakah mereka antara
menjadi antara pelajar cemerlang setiap semester? Adakah mereka terpilih
menerima anugerah pengarah setiap semester? Sudah tentu hanya minoriti dan
sebilangan kecil sahaja yang terpilih, namun ianya berlaku disebabkan
kesungguhan mereka. Tetapi dimanakah lagi sebilangan besar yang mengkritik
mereka yang aktif berpersatuan ini? Golongan ini hanya mencari alasan dan sebab
sahaja untuk menidakkan diri mereka untuk menyertai usrah dan aktif dalam
berpersatuan. Mereka hanya tahu mengkritik sahaja tanpa mengetahui hal yang
sebenar bila berada dalam gerak kerja persatuan bahkan bukan sekadar itu
sahaja, ,malah mereka mempengaruhi pula rakan sebaya mereka untuk turut
menyertai mereka mengkritik usrah dan persatuan. Percayalah sahabat-sahabat,
fitnah dalam berpersatuan pasti akan berlaku, bukan disebabkan oleh persatuan
itu sendiri, tapi disebabkan oleh faktor diri masing-masing.
Terdapat juga segelintir mereka yang aktif berpersatuan,
namun mereka mengabaikan tanggungjawab dan tujuan utama mereka di Darul Quran
ini, menghafaz Al-Quran. Namun kebanyakan kita selalu memandang golongan yang
segelintir ini berbanding golongan yang kebanyakan yang berjaya membuktikan
kejayaan diri mereka setelah aktif berpersatuan dan usrah ini. Ianya sangat
berkait rapat dengan diri kita sendiri dan orang sekeliling. Tidaklah yang saya
maksudkan adalah bila kita aktif berpersatuan, secara langsung akan terus berjaya
tanpa berusaha langsung untuk belajar bersungguh, tetapi dengan persatuan
inilah yang banyak membantu dan mendorong kita untuk terus berusaha
bersungguh-sungguh untuk menjaga al-Quran dan cemerlang dalam akademik. Benar,
ilmu itu bukan terletak pada pointer yang tinggi, tetapi nak dapat pointer yang
tinggi memerlukan kepada ilmu. Persatuan, usrah, Quran dan akademik perlu
diletakkan seiringan tanpa meminggirkan salah satu darinya. Menjaga Quran dan
akademik adalah yang utama, namun usrah dan persatuan bukanlah yang kedua,
tetapi ianya tetap juga menjadi keutamaan.
Firman Allah:
"Wahai orang yang beriman, jika kamu menolong (agama)
Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu".
(Surah Muhammad, Ayat 7)
Selain faktor diri kita sendiri dalam mengurus masa,
perhatikanlah juga firman Allah dalam surah Muhammad ini, sekiranya kita
menolong agama Allah, pasti Allah akan tolong kita. Persatuan ini juga adalah
salah satu cara untuk kita menolong agama Allah, iaitu menjalankan kerja-kerja
dakwah mengajak sahabat-sahabat kita untuk terus menyuburkan biah solehah yang
berada di kampus Darul Quran ini. Hubungan kita dengan Allah mestilah dijaga,
solat Jemaah juga mesti juga dijaga, jangan hanya hebat berpersatuan,
bersungguh mengulang al-Quran, bersungguh berjaga malam, tetapi solat Jemaah
tidak dijaga. Bagaimana Allah nak tolong kita jikalau kita culas dalam menjaga
solat berjemaah. Tetapi realiti yang berlaku di kampus Darul Quran ini,
kebanyakan dari kita menjadi golongan yang apabila peperiksaan hampir tiba,
barulah tersedar untuk memenuhkan masjid untuk solat berjemaah, namun setelah
berakhirnya peperiksaan, Masjid Darul Quran kembali lengang seperti sediakala.
Janganlah kita menjadi manusia yang bersungguh bermunajat kepada Allah apabila
berada dalam kesusahan namun apabila kita sudah melepasi kesusahan itu, terus
kita lupa pada Allah, tidak malukah kita?
Apa yang ingin saya simpulkan disini, gunakanlah kelebihan
yang ada pada diri kita untuk dimanfaatkan pada orang disekeliling kita.
Janganlah kamu menjadi pembenci dan pengkritik kepada persatuan. Sumbangkanlah
sesuatu yang kita mampu untuk menggerakkan agenda tarbiah dan biah solehah di
kampus Darul Quran ini. Jika tidak mampu menyumbang sesuatu, jadilah penyokong
kepada persatuan, janganlah sesekali menjadi penghalang dan pengkritik kepada
mereka. Walaupun kamu adalah orang yang biasa dalam persatuan, tunjukkanlah
sentiasa komitmen kamu dalam persatuan. Pilihlah sahabat yang mampu memberi
semangat kepada kamu untuk terus menuntut ilmu dan menjaga Al-Quran disamping
aktif dalam usrah dan persatuan. Percayalah, dengan izin Allah, kejayaan akan
menjadi milik kamu.
Sekadar perkongsian dari saya, Anugerah Perdana Menteri yang
mula diperkenalkan tahun ini sangatlah tidak dijangka bahawa saya merupakan
salah seorang daripada dua orang yang akan menerimanya. Apa yang ingin saya
kongsikan, saya merupakan orang yang sangat biasa suatu ketika dahulu di dalam
PERKEMAT dan Majlis Nuqaba’. Saya bukanlah salah seorang dari pimpinan PERKEMAT
DQ, namun itu bukanlah penghalang untuk terus memberikan komitmen yang tinggi
kepada persatuan. Saya juga bukanlah seorang yang rajin dalam belajar, namun
apabila berada dalam kalangan mereka yang sentiasa menjaga Quran, yang sentiasa
menuntut ilmu, menjadikan saya mengambil manfaat dari mereka, apabila tiba
musim peperiksaan, saya akan fokus terhadapnya terutama bagi madah Hifzul
Quran. Hal ini jugalah yang mungkin mengekalkan kecemerlangan saya dalam madah
Hifzul Quran dari semester satu hingga enam. Apa yang penting adalah cara kita
mengurus masa dan kerja yang diberikan kepada kita sama ada dari pensyarah
ataupun dari persatuan. Apa yang saya dapat ini bukanlah faktor dari diri saya
sendiri, namun faktor utamanya adalah datangnya dari orang yang berada di
sekeliling saya dan yang palin utama, ianya adalah rezeki dari Allah. Bukanlah
saya ingin bangga dengan apa yang saya perolehi ini, namun saya kongsikan ini
supaya generasi yang berada di kampus Darul Quran tidak terlalu menyalah tafsir
dan memandang negatif terhadap mereka yang aktif berpersatuan ini kerana saya
dahulu pun pernah berada dalam kalangan mereka.
Nasihat terakhir saya, belajarlah kerana Allah kerana
apabila niat kita belajar kerana Allah akan menjadikan kita secara automatik
ikhlas untuk bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Harapan saya, jadilah
orang yang bermanfaat kepada orang lain dan jadilah pendokong kepada persatuan
dan usrah di kampus. Semoga Berjaya, InsyaALLAH.
16 Disember 2014
Nilai, Negeri Sembilan
dq1114
alHawariy93
Kenangan Syukbah Hadith Darul Quran JAKIM 2011/2014 |
Kenangan Pimpinan Majlis Nuqaba' 2013/2014 |